Ada lebihan ayam goreng semalam dalam peti ais? Jangan terus panaskan guna microwave kalau tak nak ayam jadi lembik dan liat.

Dengan cara yang betul, ayam goreng yang disimpan semalaman masih boleh dipanaskan semula supaya bahagian luarnya kembali rangup, manakala isi ayam kekal juicy.

1. Panaskan guna air fryer

Air fryer antara cara paling mudah untuk panaskan semula ayam goreng.

Keluarkan ayam daripada peti ais dan biarkan seketika pada suhu bilik. Kemudian, panaskan air fryer pada suhu sekitar 180°C selama beberapa minit.

Masukkan ayam dan panaskan selama 5 hingga 10 minit, bergantung pada saiz ayam. Untuk hasil lebih sekata, terbalikkan ayam pada pertengahan masa.

Hasilnya, bahagian luar ayam kembali garing tanpa perlu menggunakan banyak minyak.

2. Guna kuali tanpa minyak

Tidak ada air fryer? Anda boleh guna kuali biasa.

Panaskan kuali dengan api kecil hingga sederhana, kemudian letakkan ayam goreng tanpa menambah minyak. Tutup kuali supaya haba dapat memanaskan bahagian dalam ayam.

Panaskan beberapa minit dan balikkan ayam supaya kedua-dua bahagian kembali rangup.

Elakkan menggunakan api terlalu besar kerana kulit ayam boleh cepat hangus sedangkan bahagian dalam masih sejuk.

ayam goreng

Kredit: Kompas.com

3. Panaskan dalam oven

Oven juga boleh digunakan untuk mengembalikan kerangupan ayam goreng yang disimpan dalam peti ais.

Panaskan oven terlebih dahulu pada suhu sekitar 180°C. Susun ayam di atas dulang dan panaskan selama kira-kira 10 hingga 15 minit.

Kalau nak kulit lebih rangup, pastikan ayam tidak disusun terlalu rapat supaya udara panas dapat beredar dengan baik.

Jangan terus guna microwave

Microwave memang cepat, tetapi wap yang terhasil ketika proses pemanasan boleh menyebabkan salutan ayam goreng menjadi lembik.

Kalau anda tetap nak guna microwave, panaskan ayam sekejap sahaja untuk menaikkan suhu bahagian dalam sebelum sambung panaskan menggunakan air fryer, kuali atau oven.

Cara simpan ayam goreng semalaman dengan betul

Selain cara panaskan semula, cara penyimpanan ayam goreng juga penting. Ayam yang sudah dimasak perlu disimpan dalam peti sejuk dalam tempoh yang sesuai dan diletakkan dalam bekas bertutup.

Sebelum dipanaskan, periksa keadaan ayam terlebih dahulu. Kalau terdapat bau pelik, perubahan warna atau tekstur yang mencurigakan, lebih baik jangan dimakan.

Jadi, kalau masih ada ayam goreng semalam, jangan terus anggap ia sudah tidak sedap. Cuba salah satu daripada tiga cara ini dan anda boleh nikmati semula ayam goreng yang panas dan rangup.

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending