Siapa yang setiap kali pergi pasar malam wajib beli murtabak? Sekarang anda boleh buat sendiri je murtabak mini kat rumah. Tak perlu susah-susah uli doh, guna kulit popia je untuk kulit.
Jom cuba buat dengan menggunakan resipi hasil perkongsian oleh Dianadiandra Diana di bawah. Makan satu confirm tak cukup! Laju je habis sepinggan anak-anak makan.
CARA BUAT MURTABAK MINI GUNA KULIT POPIA
Bahan-bahan:
- Kulit popia
- 3 biji ubi kentang (potong dadu)
- 2 biji bawang besar
- 1 ulas bawang putih (didadu)
- 3 sudu makan rempah kari ikan
- Daun sup @ daun bawang
- Isi ayam @ daging (dicincang)
- Telur ayam 2 biji
Cara-cara:
1. Panaskan sedikit minyak, tumis bawang putih dan bawang merah. Masukkan rempah dan tuang sedikit air jangan terlalu banyak. Bila rempah dah pecah minyak, masukkan isi ayam dan kentang. Kemudian masukkan garam dan gula secukup rasa. Gaul sebati dan masak sampai kering menggunakan api sederhana.
2. Pecahkan telur, kemudian masukkan sedikit garam dan pukul sebati. Kemudian masukkan bahan inti tadi ke dalam telur, gaul sebati.
3. Letak sedikit di atas kulit popia dan lipat seperti bentuk murtabak.
4. Goreng dalam periuk ajaib atau pan anti lekat dalam minyak yang sedikit. Balik-balikkan kedua-dua belah supaya masak rata.
Siap! Selamat mencuba.
Kredit: Dianadiandra Diana