PENULIS
myResipi
KATEGORI
Artikel
POSTED ON
2020-08-06 14:30:37
Kuih Lepat Labu merupakan antara kuih tradisional Malaysia yang sentiasa menjadi kegemaran orang kita. Rasa lemak-lemak manisnya memang sangat sesuai dijadikan sebagai sajian utama minum petang. Pasti anak-anak dan suami turut berselera menjamah kuih ini. Bagi anda yang ingin membuat kuih lepat labu, ini cara-cara mudah yang anda boleh contohi dari Asma Mohamed menerusi laman Facebook.
Bahan-bahan:
- 1 cawan labu (direbus sehingga lembut kemudian disukat)
- 1 cawan tepung gandum
- 2 sudu makan tepung ubi kayu
- 3 ½ sudu makan gula
- Secubit garam
- Santan pekat secukupnya
- Daun pisang secukupnya (bersihkan dan layurkan)
Bahan inti:
- Kelapa parut
- Manisan atau gula melaka secukupnya
- Sedikit air
- Secubit garam
- 1-2 helai daun pandan
Cara-cara:
- Bagi penyediaan inti, satukan semua bahan inti dan masak sehingga manisan atau gula melaka larut. Untuk menjadikan inti lebih sedap, pastikan teksturnya agak lembap dan tidak kering. Apabila sudah siap, ketepikan seketika.
- Untuk membuat adunan lepat pula, satukan semua bahan dan adunkan sehingga sebati.
- Kemudian, mulakan membungkus lepat. Caranya, ambil daun pisang yang telah dipotong dan dilayur. Kemudian, letakkan 2 sudu makan adunan lepat di atas permukaan daun pisang.
- Seterusnya, ambil 1 sudu inti dan kemudian balut daun sekemas-kemasnya. Lakukan hingga habis adunan.
- Setelah selesai membalut, panaskan periuk kukusan dan susun kuih lepat yang sudah siap dibalut tadi. Kukus selama 25 minit atau sehingga masak.
Siap untuk dihidang. Selamat mencuba dan menjamu selera!
Kredit: Asma Mohamed