Menyediakan menu bekal sekolah anak bukanlah tugas yang mudah. Apatah lagi jika anak merupakan seorang picky eater.

Kalau asyik ulang menu yang sama, lama-lama mereka boleh mula bosan. Jadi, apa kata selang-selikan menu bekal dengan beberapa idea dibawah. Bukan sahaja nampak menarik tapi menyelerakan.

Tak perlu bahan-bahan yang complicated, ini 7 idea bekal sekolah yang boleh dijadikan inspirasi untuk menu anak sepanjang minggu.

Baca juga: Idea Menu Bekal ‘Jimat Poket’ Ke Tempat Kerja Mengikut Hari, Seminggu Makan Sedap!

1. NASI GORENG TELUR DALAM BEKAS BENTO

Kalau anak anda suka menu berasaskan nasi, nasi goreng antara pilihan paling mudah untuk dijadikan bekal.

Untuk bagi sedikit kelainan, boleh masukkan telur hancur, ayam yang dipotong kecil, jagung dan lobak merah. Bahagikan nasi goreng ke dalam bekas bento dan letakkan hirisan buah seperti anggur atau epal di bahagian sebelah.

Menu ini juga sesuai dibuat menggunakan lebihan nasi yang ada di rumah.

2. SANDWICH TELUR & KEJU

Selain nasi, Sandwich pun boleh jadi pilihan menu yang mengenyangkan, terutama untuk anak yang suka makan makanan ringkas.

Sapu telur hancur yang dicampur sedikit mayonis pada roti, kemudian tambahkan  sedikit tuna, sekeping keju dan hirisan timun. Potong sandwich kepada bentuk kecil supaya lebih mudah untuk anak makan.

Kalau ada acuan biskut di rumah, boleh juga gunakan untuk menghasilkan bentuk sandwich yang lebih menarik.

3. WRAP AYAM RANGGUP

Jika anak sudah mula bosan dengan sandwich, tukarkan roti kepada tortilla wrap pula.

Gunakan ayam yang telah dimasak atau ayam panggang, kemudian tambah salad, timun dan sedikit sos kegemaran anak. Gulungkan dengan kemas dan potong kepada beberapa bahagian kecil sebelum dimasukkan ke dalam bekas.

Wrap ini boleh disediakan pada waktu pagi kerana prosesnya cepat dan tidak memerlukan banyak bahan.

4. PASTA GORENG DENGAN AYAM

Pasta bukan hanya sesuai untuk makan malam. Ia juga boleh dijadikan menu bekal yang mudah dan mengenyangkan.

Rebus pasta terlebih dahulu, kemudian goreng bersama bawang putih, ayam yang dipotong kecil dan sayur seperti lobak merah atau brokoli. Perasakan mengikut citarasa anak.

Untuk lebih menarik, gunakan pasta berbentuk seperti fusilli atau macaroni yang lebih mudah dimakan.

5. BEBOLA AYAM BERSAMA NASI

Kalau anak suka makanan yang boleh dimakan menggunakan tangan, bebola ayam boleh menjadi pilihan yang menarik.

Campurkan ayam kisar dengan sedikit lobak merah yang dicincang halus, bawang dan serbuk lada hitam. Bentukkan menjadi bebola kecil dan masak sehingga sempurna.

Hidangkan bersama nasi dan sayur kegemaran anak. Boleh juga letakkan sedikit sos dalam bekas kecil supaya anak boleh mencicah.

6. MINI PIZZA ROTI

Ada roti yang hampir tamat tempoh? Jangan terus buang. Tukarkan sahaja kepada mini pizza untuk bekal anak.

Letakkan sos tomato, keju, sosej atau ayam yang telah dimasak di atas kepingan roti. Kemudian bakar sehingga keju cair dan permukaan sedikit garing.

Potong kepada saiz kecil sebelum dimasukkan ke dalam bekas. Menu ini juga boleh disediakan lebih awal dan dipanaskan semula pada waktu pagi.

7. ONIGIRI AYAM

Kalau nak cuba sesuatu yang sedikit berbeza, buat onigiri versi ringkas menggunakan bahan yang mudah didapati.

Campurkan nasi dengan sedikit bijan dan inti ayam yang telah dimasak. Bentukkan nasi menjadi segi tiga atau bulat menggunakan tangan yang bersih atau acuan onigiri.

Balut dengan sedikit rumpai laut sebelum dimasukkan ke dalam bekas bersama buah-buahan atau sayur sebagai pelengkap.

TAK PERLU MENU SUSAH UNTUK BUAT ANAK BERSELERA

Sebenarnya, bekal sekolah tidak perlu terlalu rumit untuk nampak menarik. Yang penting, cuba pelbagaikan menu, gunakan bahan yang anak gemari dan susun makanan dalam bekas dengan kemas.

Boleh juga libatkan anak ketika memilih menu untuk minggu berikutnya. Bila mereka turut diberi pilihan, lebih mudah untuk ibu bapa tahu makanan apa yang mereka suka dan elakkan makanan yang selalu berbaki.

Jadi, kalau dah kehabisan idea nak masukkan apa dalam bekas bekal esok, bolehlah cuba salah satu daripada tujuh menu ini.

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending