Suasana di meja makan boleh bertukar menjadi tegang bak medan perang setiap kali tiba waktu makan. Apabila terpandang sahaja secebis lobak merah atau sebutir daun sup di dalam hidangan, si kecil pasti akan mula mengasingkan sayur-sayuran tersebut satu demi satu. Malah, ada juga yang mengunci mulut dan tidak kurang juga segelintir yang menangis tanda protes.
Situasi ini cukup merunsingkan dan boleh membuatkan ibu pening kepala, bukan?
Pengambilan nutrisi yang mencukupi sering menjadi igauan buat ibu bapa di luar sana. Meskipun impian setiap penjaga adalah melihat cahaya mata membesar dengan sihat dan cergas, namun kerenah si kecil yang picky eater kerap kali mengundang rasa lelah sehingga ada yang hampir hilang punca.
Namun, anda tidak keseorangan dalam perjuangan ini kerana fasa memilih makanan satu lumrah dalam proses tumbesaran kanak-kanak. Kini, ibu tidak perlu lagi stres di meja makan. Kunci penyelesaiannya bukanlah dengan cara memaksa, sebaliknya menerusi teknik penyamaran makanan yang kreatif!
Mari kita bongkar 3 petua emas berserta resipi hidden-veggie yang bukan sahaja berkhasiat dan lazat, malah dijamin dapat mengaburi mata anak daripada menyedari kehadiran sayur di dalamnya.
Baca juga: Aesthetic Tapi Tak Penat! Rahsia Perkelahan Seronok & Mudah Hujung Minggu Ini
3 PETUA PENTING
Sebelum masuk bab resipi, fahami dulu rahsia asas nak sembunyikan sayur supaya penyamaran tak dapat dikesan.
Teknik Kisar Halus
Deria rasa kanak-kanak amat peka terhadap sebarang tekstur yang asing. Biarpun sayur dipotong dadu bersaiz mikro, mata tajam mereka tetap mampu mengesannya. Strategi terbaik adalah dengan mengisar sayuran seperti bayam atau lobak merah sehingga menjadi puree yang lumat sebelum diadun ke dalam masakan.
Teknik Padanan Warna
Satu lagi rahsia berkesan adalah dengan memadankan tona sayuran mengikut warna dominan hidangan tersebut. Sebagai contoh, anda boleh melenyek kubis bunga ke dalam sup berkrim putih, atau kisar halus daun bayam ke dalam adunan penkek mahupun smoothie hijau.
Teknik Parutan Halus
Anda boleh memarut zucchini atau lobak merah sehingga lumat dan mengadunnya ke dalam daging atau ayam cincang. Trik bijak ini bukan sekadar mengaburi mata si kecil, malah berupaya menjadikan tekstur daging lebih lembut dan juicy!
3 RESIPI ‘HIDDEN-VEGGIE’ DISUKAI ANAK-ANAK
Berikut resipi yang terbukti berjaya ‘menipu’ tekak anak-anak dengan cara paling sihat.
1. Nugget Ayam Homemade
Siapa sangka nugget yang menjadi kegilaan si kecil kini boleh dihidangkan dalam variasi lebih berkhasiat melalui adunan rahsia brokoli dan bayam.
Bahan-Bahan:
- 500g isi ayam (bahagian dada atau paha)
- 1/2 cawan bunga brokoli (dikukus sebentar & dicincang halus)
- 1/2 cawan daun bayam segar (dicuci bersih & dikisar halus)
- 1 biji telur
- 2 ulas bawang putih (dicincang halus)
- 1/2 cawan serbuk roti
- 1 sudu kecil garam & lada sulah (ikut rasa)
Cara Memasak:
- Masukkan isi ayam, brokoli, bayam, bawang putih dan telur ke dalam food processor atau pengisar. Kisar hingga semuanya sebati dan lumat.
- Pindahkan adunan ke dalam mangkuk, campurkan serbuk roti, garam dan lada sulah. Gaul rata.
- Bentukkan adunan menjadi saiz nugget kegemaran anak.
- Salutkan nugget dengan sedikit serbuk roti tambahan di luar untuk tekstur lebih rangup.
- Susun dalam air fryer, sembur sedikit minyak dan masak pada suhu 180°C selama 12 minit. Boleh juga digoreng dalam kuali dengan api sederhana hingga keperangan.
Tip: Anda boleh menyediakan adunan ini dalam kuantiti yang besar untuk dijadikan stok sejuk beku. Apabila kesuntukan masa untuk menyiapkan bekal sekolah, hanya perlu masukkan ke dalam air fryer.
2. Sos Bolognese
Siapa kata sos bolognese cuma ada tomato dan daging? Sos ini padat dengan 3 jenis sayur berbeza tapi rasanya tetap manis dan berkrim!
Bahan-Bahan:
- 300g daging cincang
- 1 biji lobak merah (dikukus)
- 1/2 biji lada benggala merah
- 1/2 cawan labu kuning (dikukus)
- 1 botol sos tomato / puree tomato
- 1 biji bawang holland (dipotong dadu)
- 2 ulas bawang putih (dicincang)
- Sedikit minyak zaitun atau mentega untuk menumis
- Garam, gula dan serbuk oregano secukup rasa
Cara Memasak:
- Kukus lobak merah, lada benggala merah dan labu kuning sehingga lembut. Kemudian, kisar ketiga-tiga sayur ini bersama sedikit air atau puree tomato sehingga menjadi sos yang sangat halus.
- Panaskan mentega dalam kuali, tumis bawang holland dan bawang putih sehingga wangi.
- Masukkan daging cincang dan masak sehingga berubah warna.
- Tuangkan campuran puree sayur-sayuran yang dikisar tadi berserta baki sos tomato.
- Perasakan dengan garam, sedikit gula dan oregano. Biarkan dengan api perlahan selama 10 minit hingga sos pekat.
- Hidangkan bersama pasta kegemaran anak seperti Spaghetti atau Macaroni
3. Penkek Bayam & Pisang
Jangan terkejut tengok warna hijau yang menyerlah itu, ianya bukan pewarna tiruan sebaliknya datang daripada khasiat bayam. Menariknya, kemanisan semulajadi pisang berjaya mengaburi rasa sayur sehingga ia ‘hilang’ sepenuhnya dari deria rasa anak.
Bahan-Bahan:
- 1 cawan tepung gandum / tepung oat
- 1 biji pisang masak (saiz sederhana)
- 1 genggam daun bayam
- 1/2 cawan susu segar
- 1 biji telur
- 1 sudu kecil serbuk penaik
- Sedikit sirap mapel atau madu untuk hiasan (Nota: Elakkan madu untuk bayi di bawah usia 1 tahun)
Cara Memasak:
- Masukkan pisang, bayam, susu segar dan telur ke dalam pengisar. Kisar sehingga menjadi cecair hijau yang halus tanpa gumpalan daun.
- Dalam mangkuk, campurkan tepung gandum dan serbuk penaik.
- Tuangkan cecair hijau tadi ke dalam tepung dan kacau perlahan menggunakan pemukul telur hingga sebati.
- Panaskan kuali tidak melekat dengan sedikit mentega dengan api kecil.
- Tuang satu senduk adunan penkek. Biarkan sehingga keluar buih-buih kecil di permukaan, kemudian terbalikkan. Masak selama 1–2 minit lagi.
- Hias dengan potongan buah-buahan kegemaran atau siraman sirap di atasnya.
Ibu-ibu ada trik tersendiri nak bagi anak picky eater makan sayur di rumah? Atau ada resipi rahsia lain untuk sorokkan sayur? Jom kongsi petua anda di ruangan komen untuk bantu ibu-ibu lain.
Dapatkan Audio+
Hot FM
Kool FM
Eight FM
Fly FM
Molek FM

















