Apabila cuaca panas di luar dan tekak rasa dahaga, terus terbayang pencuci mulut yang sedap dimakan sejuk-sejuk seperti Puding Kastard sukatan cawan yang sangat mudah dibuat.
Puding Kastard merupakan sejenis puding yang dimakan bersama kuah kastard sebagai sos dengan rasa yang cukup berlemak manis dan memikat selera.
Sudah biasa disukat dengan gram, jadi kali ini kami nak kongsikan resipi Puding Kastard sukatan cawan oleh Cik Dayang Zuhaila di Facebook yang lebih mudah. Jom kita cuba!
Baca juga: Pisang Butter Sos Kastard, Idea Pencuci Mulut Yang Buat Ramai Ketagih
RESIPI PUDING KASTARD SUKATAN CAWAN
Bahan-bahan untuk puding:
- 2½ cawan air
- 4 sudu besar tepung kastard
- 5 sudu besar gula
- 1 tin susu cair (ikut suka pakai cap apa)
- Secubit garam (untuk bagi rasa lemak)
Bahan-bahan untuk sos kastard:
- 2 cawan air
- 1 tin susu cair
- 2 sudu besar tepung kastard
- 4 sudu besar gula
- Secubit garam
Cara-cara membuat puding:
1. Mula-mula, masukkan semua bahan untuk puding ke dalam kuali atau periuk dan kacau sebati terlebih dahulu.
2. Apabila sudah sebati, baru hidupkan api dapur yang sederhana saja dan pastikan jangan berhenti kacau.
3. Kemudian, teruskan kacau sehingga pekat dan mendidih.
4. Apabila sudah mendidih, boleh tutup api, tapi pastikan wajib mendidih dan meletup-letup terlebih dahulu.
5. Seterusnya, masukkan dalam bekas yang disukai dan biarkan puding suam lebih kurang dalam 20 minit.
6. Akhir sekali, baru masukkan dalam peti ais. Siap!
Cara-cara membuat kuah kastard:
1. Mula-mula, masukkan semua bahan untuk kuah kastard ke dalam periuk dan kacau sebati.
2. Setelah sebati, baru hidupkan api dapur. Kemudian, kacau sampai keluar wap dan mendidih tapi pastikan wajib mendidih untuk mengelakkan kuah kastard cepat basi.
3. Selepas itu, tutup api dan sejukkan dekat luar, kemudian baru masukkan dalam peti ais. Siap!
Setelah puding yang dibiarkan dalam peti ais tadi sudah keras, anda boleh hiaskan dengan buah yang disukai pada bahagian atasnya. Apabila nak makan, baru tuang kuah kastard tadi.
Puding Kastard sukatan cawan begini lebih mudah dibuat di rumah dan terasa nikmat tak terhingga apabila makan pencuci mulut ini sejuk-sejuk bersama keluarga tersayang.
Selamat mencuba!
Sumber: Cik Dayang Zuhaila
Baca juga: Puding Roti Marble Yang Mak-Mak Sekarang Suka Buat, Tak Payah Kukus!