Apabila bercerita tentang Kelantan, pasti terbayangkan makanannya yang enak belaka. Jika teringin makan hidangan dari Kelantan, boleh cuba resepi Gulai Kuning Ikan Merah.
Gulai Kuning Ikan Merah merupakan antara hidangan wajib dicuba jika bercuti ke Kelantan dan lauk ini sangat mudah dijumpai di mana-mana kedai nasi campur di sana.
Asma Nordin yang berasal dari Kelantan telah kongsikan resepi Gulai Kuning Ikan Merah turun-temurun daripada ibu bapanya di Facebook. Jom kita cuba!
Baca juga: Resepi Gulai Kawah Kelantan, Lauk Kenduri Ini Buat Ramai Berselera Dengan Aromanya
RESEPI GULAI KUNING IKAN MERAH KELANTAN
Bahan-bahan:
- 1 ekor ikan merah (buang sisik dan bersihkan)
- 500ml santan
- 500ml air
- 2 keping asam gelugor
- Garam (secukup rasa)
- Sedikit gula (secukup rasa)
Bahan kisar:
- 5 ulas bawang merah
- 1 inci kunyit hidup
- 5 tangkai cili kering
- Sedikit lengkuas
Bahan hiasan atau sampingan:
- Lada hijau atau solok lada
- Nanas dan daun kesum (jika suka)
Cara-cara memasak:
1. Mula-mula, ikan dilumur dengan garam dan diperap (seeloknya semalaman supaya isi ikan pejal atau 1 jam pun boleh).
2. Selepas itu, satukan semua bahan ke dalam periuk kecuali ikan dan bahan hiasan.
3. Kemudian, masak sehingga sebati dan santan naik minyak, jangan bergentel (api perlahan).
4. Seterusnya, masukkan ikan. Masak sehingga ikan lembut dan masukkan bahan hiasan.
5. Akhir sekali, sesuaikan rasanya. Kacau sekejap. Siap untuk dihidang!
Jika suka, anda boleh letak sedikit bawang putih dalam bahan kisar semasa buat resepi Gulai Kuning Ikan Merah ini. Nak lebih pedas, tambah saja cili padi yang menyengat.
Lauk-pauk di Kelantan memang tak kurang hebatnya dengan negeri lain di Malaysia. Lebih-lebih lagi, Gulai Kuning Ikan Merah ini merupakan antara yang disukai ramai.
Anda wajib cuba masak lauk ini di rumah kerana kuahnya yang pekat dan sedap bakal membuatkan selera sesiapa pun terangkat apabila memakannya.
Selamat mencuba!
Sumber: Asma Nordin
Baca juga: Gulai Nangka Ikan Kering Tumis Darat, Menu Kampung Yang Ramai Suka!