Jika mempunyai pasangan berketurunan Jawa, anda kena belajar buat Ayam Masak Kicap Jawa yang sedapnya cukup memikat selera.
Ayam Masak Kicap Jawa lebih kurang sama seperti yang biasa dibuat cuma kuahnya lebih pekat dan ditambah dengan kentang dan suhun sebagai penyedap rasa.
Cara memasak Ayam Masak Kicap Jawa taklah susah mana jika anda mengikut resipi yang dikongsikan oleh Amie’s Little Kitchen di blognya ini. Jom kita cuba!
Baca juga: Resepi Ayam Sambal Bali, Buat Lauk Ini ‘Confirm’ Suami Dah Tak Makan Luar
RESIPI AYAM MASAK KICAP JAWA
Bahan-bahan:
- 1 kg daging ayam (potong menjadi 10 bahagian, perap dengan sedikit garam dan serbuk kunyit, ketepikan)
- 1 cawan suhun yang sudah direndam hingga lembut
- 4 biji kentang (kupas kulit dan potong wedges)
- 1 labu bawang besar (mayang kasar)
- 1 biji cili merah (hiris kasar)
- 5 sudu besar kicap lemak manis (saya guna Kicap Cap Kipas Udang)
- 1 biji cili hijau (hiris kasar)
- 1 sudu besar lada putih (tumbuk, gunakan lada hitam pun boleh)
- Rempah 4 sekawan (3cm kulit kayu manis, 2 kuntum bunga lawang, 3 biji buah pelaga dan 3 kuntum bunga cengkih)
- 1 cawan air
- Garam, gula atau perasa pilihan (jika perlu)
Bahan tumbuk / kisar:
- 3 ulas bawang putih
- 5 biji bawang merah
- 3cm halia
Cara-cara memasak:
1. Mula-mula, goreng daging ayam yang diperap sehingga masak. Toskan.
2. Selepas itu, goreng kentang sehingga masak dan kuning keemasan. Toskan.
3. Kemudian, tinggalkan 4 sudu besar minyak bekas goreng ayam dan kentang tadi di dalam kuali.
4. Seterusnya, tumis bahan tumbuk atau kisar sehingga wangi dan kemudian masukkan rempah 4 sekawan.
5. Setelah itu, masukkan ayam goreng dan gaul rata. Tuangkan kicap, lada putih atau hitam serta air dan biarkan kuahnya mendidih dan kemudian masukkan suhun. Gaul rata.
6. Bagi menyempurnakan rasa, tambah dengan garam, gula atau perasa pilihan jika perlu.
7. Akhir sekali, masukkan hirisan bawang besar, cili merah dan cili hijau. Gaul rata beberapa kali dan padamkan api dapur. Siap untuk dihidang!
Ayam Masak Kicap Jawa merupakan hidangan lauk terbaik untuk menu seharian di rumah. Selain itu, lauk ini paling laku keras ketika jamuan Hari Raya atau majlis kenduri.
Selamat mencuba!
Sumber: Amie’s Little Kitchen
Baca juga: Resepi Ayam Cili Kering Simple, Dah Cuba Gerenti Angau Sampai Seminggu!