Peminat kuih kampung mesti tercari-cari resepi Bengkang Ubi Kayu kerana kuih ini terkenal dengan lemak manis yang lazat.
Kuih Bengkang Ubi Kayu merupakan sejenis kuih tradisional yang popular di kalangan masyarakat Melayu di kampung.
Selain dipanggil Bengkang Ubi Kayu, kuih ini juga disebut bingka ubi kayu dan sering disediakan untuk dimakan oleh ahli keluarga di rumah atau pencuci mulut sewaktu majlis kenduri.
Baru-baru ini, Arm Ika telah kongsikan resepi kuih ini di Facebook dan ramai memuji hasil yang dibuat. Jom kita cuba!
Baca juga: Bingka Durian, Cukup Rasa Lemak Manis Dengan 3 Langkah Saja
RESEPI BENGKANG UBI KAYU
Bahan-bahan:
- Seketul besar ubi kayu (beratnya dalam anggaran 1kg lebih sebelum dibuang kulit, dimesin atau parut halus)
- Santan pekat secukupnya (dari sebiji kelapa saiz sederhana)
- Gula secukupnya (dalam 10 senduk saiz kecil, jika guna sudu mungkin dalam 15 sudu besar)
- 1 sudu besar garam (rata)
- Pewarna kuning
Cara-cara membuat:
1. Mula-mula, perah air dari ubi kayu dan simpan air perahan. Biarkan air itu, jangan kacau-kacau. Nanti tepung dari ubi kayu akan mendap di bawah dalam 20 hingga 30 minit.
2. Selepas itu, tuang air yang di atas perlahan-lahan untuk ambil tepung yang mendam tersebut.
3. Kemudian, satukan semua bahan sedikit demi sedikit sampai secukup rasa dan sebati.
4. Akhir sekali, masuk adunan dalam loyang dan boleh bakar pada suhu 180°C selama 1jam atau sampai masak. Setelah betul-betul sejuk, baru dipotong. Siap untuk dinikmati!
Anda perlu lebihkan dari kemanisan biasa dalam resepi Bengkang Ubi Kayu kerana kuih ini banyak menyerap gula.
Jika dirasa sebelum masak memang sudah manis, tapi kena lebihkan sedikit sebab nanti apabila sudah masak, ia akan rasa kurang manis.
Resepi Bengkang Ubi Kayu sangat sesuai digunakan untuk anda sediakan sarapan dan minum petang yang sedap di rumah.
Selamat mencuba!
Sumber: Arm Ika
Baca juga: Resepi Kuih Bingka Pandan Tanpa Pewarna, Rasa Pandan Terlebih Asli