PENULIS
myResipi
KATEGORI
Artikel
POSTED ON
2020-08-06 13:46:41
Bila disebut tentang Pizza, pasti ramai terbayangkan kelazatannya ketika dimakan waktu panas-panas. Lebih-lebih lagi kalau diletakkan lebih keju sebagai topping pizza, fuhh sedapnyaaa! Sudah tentu ramai ingin mencuba membuat Pizza sendiri di rumah, terutamanya anak-anak muda yang lumrahnya sangat menggemari makanan barat ini. Menariknya, kini sudah ada cara yang lebih mudah untuk memasak Pizza homemade. Caranya adalah dengan hanya menggunakan kuali sahaja! Oleh itu, jom ikuti perkongsian Murni Rahmat menerusi laman Facebook.
Bahan-bahan:
Bahan doh pizza:
- 1kg tepung gandum
- 1 cawan air suam
- 1 cawan air suam (dicampur bersama sedikit mauripan)
- 1 paket mauripan @ yis kering
- 2 sudu minyak masak
- 1 sudu makan gula
- Secubit garam
*Uli bahan-bahan di atas sekurang-kurangnya 5 minit
Bahan topping:
- Bawang besar (dihiris)
- Sos pasta tradisional
- Sosej (dipotong)
- Ayam (dipotong kiub)
- Cendawan butang
- Nanas
- Keju
*Pilihan bahan topping terpulang mengikut citarasa sendiri
Bahan sos:
- 3 ulas bawang putih (dipotong halus)
- 1 biji bawang besar/holland (dikisar)
- 1 sudu kecil mix herbs
- 1 kiub ayam
- 2 sudu besar tomato puree
- 3 biji tomato (dikisar)
Cara penyediaan sos:
- Tumiskan bawang putih tadi sehingga naik bau. Kemudian, masukkan bawang dan tomato yang sudah dikisar sehingga pecah minyak.
- Masukkan tomato puree dan kemudian tambahkan mix herbs serta kiub ayam.
- Akhir sekali, perasakan dengan garam dan serbuk lada hitam. Ketepikan.
Cara-cara:
- Untuk penyediaan topping, tumis bawang sehingga naik bau. Kemudian, masukkan bahan topping yang disediakan tadi.
- Tumiskan sehingga cukup masak. Perasakan dengan garam dan lada hitam, kemudian ketepikan seketika.
- Bagi penyediaan doh, mulakan dengan menggaul tepung dengan minyak. Tambahkan 2 cawan air tadi dan teruskan menguli sehingga doh tidak melekat di tangan. Kemudian, tutupkan bekas doh dengan tuala dan rehatkan selama 1 jam.
- Selepas satu jam, doh akan menaik 2 kali ganda. Tumbukkan sedikit doh untuk mengeluarkan anginnya.
Kredit: Murni Rahmat
- Bahagikan doh kepada 5 bahagian ataupun lebih. Bentukkan doh kepada bulat dan leper. Kemudian, letakkan di atas kuali untuk dimasak tanpa memerlukan minyak atau apa-apa lapik.
- Masak doh tadi dengan api yang kecil selama 10 hingga 15 minit mengikut ketebalan pizza yang anda buat tadi. Tutupkan dengan tudung periuk.
- Agak-agak sudah hampir masak, sapukan sos yang sudah di siapkan tadi di atas permukaan doh.
Kredit: Murni Rahmat
- Kemudian, teruskan meletak topping yang sudah tersedia di atas permukaan doh di dalam kuali. Ini supaya topping tersebut akan turut dimasak di dalam kuali bersama doh. Tunggu sehingga keju pun turut cair.
- Tutup api dan angkatkan untuk diletakkan di atas pinggan yang leper.
Siap! Sesuai dihidang panas-panas dan dimakan bersama kawan-kawan. Selamat mencuba!