Resepi ubi kayu tonyoh ini merupakan salah satu makanan orang dulu-dulu yang hanya muncul setiap kali tiba musim tengkujuh.
Kuih ini sangat terkenal di Pantai Timur, lebih lagi di negeri Kelantan. Ada juga yang memanggilnya dengan nama ubi sagat atau ubi parut.
Cara membuatnya juga cukup mudah dan tidak renyah. Hanya memerlukan 3 bahan iaitu ubi kayu, gula melaka dan garam. Kemudian, semua bahan ini perlu dikukus selama 30 minit dan sedia untuk menjamu selera.
Kalau ada yang tertanya-tanya apakah rasa ubi tonyoh ini, jom cuba buat sendiri di rumah menggunakan resipi perkongsian oleh Cik Munirah Mat Jusoh di bawah.
Baca juga: Lempeng Guna Daun Pisang, Auto Teringat Nostalgia Zaman Kecil Dulu-Dulu
RESEPI UBI KAYU TONYOH
Bahan-bahan:
- 1kg ubi kayu (disagat/diparut/ditonyoh)
- 2 keping gula Melaka/nise kerek (ditumbuk halus)
- 1 sudu kecil garam
Cara-cara:
1. Jika simpan gula melaka di dalam peti, keluarkan dan biarkan dahulu selama 5 jam supaya senang ditumbuk.
2. Apabila semua bahan sudah tersedia, satukan semuanya dan gaul sebati.
3. Masukkan ke dalam pengukus dan kukus selama 30 minit.
4. Kalau nak lebih sedap, makan dengan kelapa parut yang dicampur dengan sedikit gula dan garam.
5. Sedia untuk dihidangkan. Selamat mencuba!
Kredit resipi dan gambar: Cik Munirah Mat Jusoh
Baca juga: Nasi Goreng Ayam 90an Cara SIMPLE, Nostalgia Terimbau Zaman Dulu-Dulu