1. Makanan yang mengandungi soya
Soya merupakan makanan utama yang sudah lama menjadi ‘musuh ketat’ pesakit tiroid.
Di dalam soya termasuklah makanan seperti tempe, edamame, tofu dan miso, terdapat satu bahan yang dikenali sebagai isoflavones.
Pakar berpendapat isoflavones boleh meningkatkan risiko hipertiroidisme. Walau bagaimanapun, satu kajian yang dimuatkan di dalam Scientific Reports pada tahun 2009 menyatakan sebaliknya.
Malah, mereka tidak menemui sebarang kaitan antara soya dan juga tahap hormon dalam badan. Namun, ada kajian lain yang menunjukkan soya mungkin dapat mengurangkan keberkesanan ubat tiroid.
Oleh sebab itu, pesakit yang menghidap hipertiroidisme perlulah merujuk doktor masing-masing sebelum mengambil makanan yang mengandungi soya.
2. Sayuran seperti brokoli dan kubis
Tidak dinafikan, brokoli dan kubis amat berkhasiat dan dipenuhi pelbagai nutrisi. Bukan itu sahaja, sayuran ini juga kaya dengan serat. Malah, pengambilannya amat digalakkan oleh pakar.
Namun, berbeza pula dengan pesakit tiroid. Sayuran ini mungkin akan mengganggu penghasilan hormon tiroid lebih-lebih lagi jika pesakit mempunyai kekurangan iodin.
Tetapi, menurut Mayo Clinic, impak ini mungkin tidak seberapa jika anda kurang makan sayur. Malah, untuk mempengaruhi penyerapan iodin badan, seseorang itu perlu makan sayur dalam kuantiti yang sangat banyak.
Jika anda didiagnosis dengan hipotiroidisme dan kekurangan iodin, ada beberapa langkah yang boleh diambil untuk membuatkan sayuran ini kurang berbahaya.
Sebagai contoh, anda boleh memasak sayur-sayuran ini terlebih dahulu dan mengehadkan pengambilannya sebanyak 5 auns sehari supaya ia tidak akan menjejaskan fungsi tiroid.
3. Pesakit tiroid perlu elakkan gluten dalam roti
Individu yang menghidap hipotirodisme mungkin perlu mengurangkan pengambilan gluten, sejenis protein yang dijumpai dalam makanan diproses seperti gandum, barli dan bijirin lain.
Selain itu, jika anda mempunyai penyakit seliak, gluten juga didapati dapat membuatkan usus kecil mengalami keradangan. Kondisi ini akan mengehadkan keberkesanan ubat tiroid.
Walau bagaimanapun, belum ada bukti yang kukuh untuk menyokong diet bebas gluten dapat merawat masalah tiroid.
Namun, dapatan kajian pada tahun 2019 dalam jurnal Experimental and Clinical Endocrinology & Diabetes pula menunjukkan sebaliknya.
Malah, mengurangkan pengambilan gluten mungkin bermanfaat untuk wanita yang mempunyai penyakit tiroid.
4. Makanan berlemak dan bergula
Makanan berlemak sudah lama terbukti dapat mengganggu penyerapan ubat penggantian hormon tiroid. Dalam masa yang sama, kelenjar tiroid juga akan dihalang daripada menghasilkan sebarang hormon.
Oleh sebab itu, lemak adalah antara pemakanan untuk pesakit tiroid perlu elakkan, terutamanya mentega, marjerin, dan lemak pada daging haiwan.
Selain itu, pakar juga menggalakkan agar pesakit tiroid mengurangkan gula dalam makanan.
Bukan sahaja ia mengandungi banyak kalori dengan 0 nutrisi, makanan bergula juga boleh menyebabkan metabolisme badan menjadi perlahan.
Jadi, hindari pengambilan makanan berlemak dan bergula untuk elak simptom penyakit tiroid menjadi lebih teruk!