Siapa hantu laksa di sini? Pernah tak cuba makan Laksa Fat Siam? Bagi penggemar laksa, memang akan suka pelbagai versi laksa di Malaysia ini. Cuma mungkin susah nak rasa Laksa Lemak Siam ni kalau duduk di sempadan Thailand.
Jarang nampak orang kongsi resipi laksa siam ini lebih-lebih lagi di media sosial. Dengan tekstur kuahnya yang pekat, berlemak dan penuh dengan ikan. Memang tergoda nak makan dibuatnya.
Baca juga: Laksa Mee Pangkor Resipi ASLI, Hidangan Signature Unik di Pulau Pangkor
Jika diteliti resipi laksa ini, ada pelbagai cara orang memasaknya terutama ikan yang mereka gunakan. Ada yang menggunakan ikan tenggiri, ada juga yang campur sardin. Ini bermakna tiada jenis ikan khusus yang digunakan untuk laksa Siam ini.
RESIPI LAKSA LEMAK SIAM
Bahan-bahan:
- Laksa kering jenis halus – rebus dan tos kering
- 1kg ikan selayang/temenung
- 10 ulas bawang merah*
- 2 ulas bawang putih*
- 2 inci halia*
- 2 inci lengkuas*
- 2 inci kunyit hidup*
- 4 batang serai* – 2 batang dikisar, 2 batang lagi diketuk
- 2 inci belacan*
- 5 biji cili api
- 5 keping asam gelugur
- 4 helai daun limau purut
- 3 cawan santan pekat
- Garam, gula, dan perasa
Cara-cara penyediaan:
1. Rebus ikan. Kemudian, asingkan isi dan tulang. Isi ikan dikisar halus.
2. Air rebusan jangan dibuang. Gunakan air rebusan ikan tadi untuk kisar tulang. Lepas kisar tulang, kemudian tapiskan.
3. Kisar semua bahan yang bertanda (*).
4. Masukkan bahan kisar dan serai yang diketuk ke dalam periuk. Biarkan mendidih.
5. Bila dah mendidih, boleh masukkan isi ikan yang dikisar tadi bersama dengan asam keping, daun limau purut dan air.
6. Kuah jangan pekat sangat atau jangan cair sangat. Ikut selera masing-masing. Kacau sebati.
7. Kemudian masukkan santan. Kuah hendaklah sentiasa kacau supaya santan tak berketul.
8. Perasakan dengan garam, gula dan bahan perasa. Bila dah suaikan rasa, dah mendidih boleh tutup api.
9. Hidangkan laksa lemak siam dengan bahan sampingan yang lain seperti timun, tauge, kacang panjang, bunga kantan, salad, telur rebus dan limau nipis. Bahan sampingan ni ikut selera masing-masing nak letak apa.
Sedia untuk dihidang.
Resipi: Wo-aini Crafter
Baca juga: Asam Laksa Cina Cara MUDAH, Cukup Rasa Masam Manis Pedas