Kek cawan coklat ini adalah pilihan yang tepat untuk peminat coklat tegar kerana gabungan rasa coklat berganda dan tekstur lembut, mufin ini sesuai dinikmati bersama keluarga, dibawa ke majlis potluck atau dijadikan jualan.
Tambahan badam cincang di atasnya memberikan rasa serta tekstur yang menarik. Resipi ini menghasilkan mufin dengan rupa rustik dan permukaan merekah yang cantik.
Selain itu, di dalam resipi ini juga mempunyai cara atau teknik untuk mendapatkan permukaan mufin yang ‘straight cut cupcake’ dan bukannya berbentuk seperti cendawan.
Baca lagi: Apam Kampung Pandan Gebu & Wangi, Ada Cara Supaya Tidak Cepat Basi
RESIPI KEK CAWAN COKLAT
Bahan-Bahan (Untuk 20 biji mufin)
- 250 ml (1 cawan) susu
- 2 sudu besar jus lemon
- 125 ml (½ cawan) minyak sayuran atau mentega cair
- 120 g telur (2 biji telur bersaiz A/B)
- 1 sudu teh esen vanila
- 200 g (1 cawan) gula kastor (atau 170 g untuk kurang manis)
- 275 g (1¾ cawan) tepung gandum
- 25 g (4 sudu besar) serbuk koko
- 1 sudu teh serbuk penaik
- 1 sudu teh soda bikarbonat
- 150-300 g (½-1 cawan) cip coklat (gunakan 1 cawan untuk rasa coklat yang lebih kaya)
- Cip coklat tambahan untuk hiasan
- Badam cincang secukupnya
Cara Penyediaan:
1. Campurkan susu dan jus lemon ke dalam mangkuk.
2. Kacau rata dan biarkan selama 5-10 minit untuk campuran menjadi sedikit masam (ini berfungsi seperti buttermilk).
3. Dalam mangkuk besar, campurkan minyak sayuran, telur, esen vanila, dan gula kastor.
4. Kacau menggunakan pemukul tangan (whisk) hingga sebati.
5. Ayak tepung gandum, serbuk koko, serbuk penaik, dan soda bikarbonat ke dalam campuran bahan cecair.
6. Kaup balik perlahan-lahan sehingga campuran sebati dan tiada tepung yang kelihatan.
7. Masukkan cip coklat ke dalam adunan.
8. Kaup balik perlahan-lahan supaya cip coklat sebati dalam adunan.
9. Isi cawan kertas mufin dengan adunan sehingga hampir penuh (¾ daripada isipadu cawan).
10. Taburkan cip coklat tambahan dan badam cincang di atas permukaan setiap mufin.
11. Bakar dalam ketuhar yang telah dipanaskan pada suhu 170°C-180°C selama 20-25 minit di rak tengah.
12. Gunakan lidi untuk memeriksa sama ada mufin sudah masak (lidi keluar bersih).
Tip Tambahan
- Suhu digunakan 170°C berdasarkan termometer ketuhar, dengan masa membakar selama 25 minit.
- Semua bahan ditimbang menggunakan sukatan metrik untuk ketepatan.
Sumber: Noor Ashikin Saerah
Baca lagi: Cucur Labu Manis Anti Gagal, Rasa Lemak Manis Dan Lembut Di Dalam!