PENULIS
myResipi
KATEGORI
Artikel
POSTED ON
2020-08-26 13:12:04
Seperti yang kita sedia maklum, telur ayam ini dikira sebagai barangan masak yang wajib ada di rumah kita. Tak kira lah sebagai penyedap lauk mahupun sebagai makanan utama. Dapat makan nasi panas berlaukkan telur goreng dan kicap pun sudah cukup menyelerakan! Namun begitu, ramai yang masih keliru sama ada perlu atau tidak untuk kita membasuh telur sebelum meyimpannya ke dalam bekas atau peti ais. Ini ada penjelasan dari seorang pakar kimia, Dr. Fatimah Salim.
TELUR MEMPUNYAI LAPISAN PELINDUNG & FUNGSINYA
Secara semulajadi, telur ini diselaputi oleh lapisan “bloom” atau “cuticle” yang dihasilkan daripada faraj ayam semasa bertelur. Fungsinya adalah untuk untuk melindungi isi telur daripada dicemari. Kulit telur ini sebenarnya mempunyai liang-liang halus di seluruh permukaan yang menyerap kuman dan bahan kimia meruap dari persekitaran.
Ini lah sebabnya kadang-kadang telur boleh berbau bawang jika diletakkan bersama dengan bawang kerana gas dari bawang diserap ke dalam kulit telur. Selain itu, selaput ini juga berfungsi mengekalkan kelembapan dalam telur dengan cara mencegah air meruap keluar melalui kulit telur.
Di Amerika Syarikat, terdapat peraturan yang mengharuskan pencucian setiap telur sebelum dijual secara komersial di pasaraya. Ini bermakna proses mencuci ini akan membuang bersama selaput perlindungan semulajadi tadi. Jadi, sebagai ganti pihak pengeluaran telur menggantikannya dengan selaput buatan yang biasanya mengandungi mineral berminyak untuk permukaan telur. Namun begitu, peraturan mencuci telur ini tidak digunapakai di Malaysia. Maka, telur-telur yang kita beli di pasaraya masih mempunyai lapisan pelindung semulajadi.
CARA PENYIMPANAN YANG SEBAIKNYA?
Sebenarnya, kedua-dua cara juga boleh diguna pakai. Namun begitu, ada kebaikan dan kekurangan bagi setiap cara ini dan anda harus lebih peka dan teliti dalam penyimpanan telur ini supaya tidak berlakunya kemudaratan ketika memakan telur. Terdapat beberapa perbezaan dalam kedua-dua cara penyimpanan telur.
- TIDAK BASUH SEBELUM SIMPAN
Kredit: Eat This, Not ThatSekiranya anda hanya ingin menyimpan telur di dalam karton yang sudah tersedia, anda tidak perlu membasuhnya terlebih dahulu. Seperti penjelasan tadi, kulit telur mempunyai selaput yang bertindak sebagai pelindung daripada tercemar kepada kuman dan bahan kimia lain. Jadi, anda tidak perlu risaukan tentang kondisi dalam telur tersebut. Anda cuma perlu membasuh telur ini apabila ingin menggunakannya untuk dimasak. Di samping itu, menyimpan telur dalam karton yang tersedia dapat melindungi telur daripada mudah pecah serta mengekalkan kesegaran telur sehingga 45 hari daripada tarikh pembungkusan.
- BASUH SEBELUM SIMPAN
Sekiranya anda memilih untuk menyimpan telur dalam peti sejuk, maka anda perlu membasuh terlebih dahulu telur-telur yang sudah dibeli sebelum disimpan. Ini kerana kulit telur juga mengandungi najis yang boleh tercemar dengan kuman seperti Salmonella. Jadi, ia akan membawa kemudaratan kepada makanan yang lain sekiranya telur ini disimpan dalam peti sejuk tanpa dicuci. Kuman ini akan menghasilkan bahan kimia toksik yang boleh menyebabkan keracunan makanan.
KESIMPULANNYA
Kedua-dua cara penyimpanan telur ini dibenarkan kerana ada kebaikan dan kekurangannya sendiri. Pilihan sama ada ingin membasuh telur atau tidak bergantung kepada cara penyimpanan telur itu. Apa pun, jangan lupa membasuh telur terlebih dahulu sebelum dimasak ya!